Ujian penerbangan ke-10 roket Starship ditangguh sebelum pelancaran

25/08/2025

WASHINGTON, 25 Ogos. - Ujian penerbangan ke-10 roket Starship keluaran SpaceX yang dijadualkan pada Ahad terpaksa ditangguhkan sejurus sebelum pelancaran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


“Ujian penerbangan kesepuluh Starship hari ini ditangguhkan bagi memberi ruang menyelesaikan isu pada sistem darat," menurut kenyataan SpaceX yang diketuai Elon Musk di platform X.


SpaceX tidak memberikan butiran lanjut mahupun tarikh baharu ujian. Starship, sistem roket terbesar pernah dibina sepatutnya dilancarkan dari pelabuhan angkasa syarikat itu di Texas, Amerika Syarikat bagi ujian penerbangan selama kira-kira sejam.


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berharap untuk menggunakan Starship bagi menghantar angkasawan ke Bulan, manakala Musk menyasarkan untuk membolehkan manusia sampai ke Marikh. Sistem itu kali pertama diuji pada April 2023, namun meletup beberapa minit selepas berlepas.


Ujian-ujian seterusnya menyaksikan peringkat atas mencapai angkasa dan mendarat secara terkawal di Lautan Hindi. Bagaimanapun, beberapa penerbangan ujian baru-baru ini tidak mencapai jangkaan. - ©BERNAMA


Attachments