Beijing akan tingkatkan penyelidikan artifak, paparan teknologi

25/08/2025

BEIJING, 25 Ogos. - Bandar Beijing menyasarkan untuk meningkatkan dengan ketara penyelidikan serta paparan awam berteknologi tinggi bagi artifak budayanya menjelang tahun 2035, menurut satu rancangan bandar yang baharu dikeluarkan.


Biro Warisan Budaya Perbandaran Beijing berkata ia akan mengutamakan penggunaan teknologi termaju seperti Kecerdasan Buatan (AI), data raya dan Realiti Maya (VR) di muzium serta tapak warisan.


Inisiatif utama termasuk mewujudkan pangkalan data digital komprehensif bagi semua artifak tidak alih - menggunakan data daripada tinjauan kebangsaan yang sedang berjalan dan terdahulu. Bahan serta teknik baharu untuk memelihara struktur kayu purba juga akan dibangunkan.


Pameran muzium akan menyaksikan peningkatan besar. Rancangan itu menyeru penggunaan VR, realiti terimbuh (augmented reality) dan paparan resolusi tinggi untuk menjadikan lawatan lebih interaktif serta menarik bagi orang ramai. Teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan AI juga akan memperkukuh keselamatan artifak serta pengurusan storan.


Bagi menyokong matlamat ini, Beijing akan menggalakkan universiti menawarkan program antara disiplin yang menumpukan pada teknologi warisan budaya. Insentif yang lebih baik untuk menukar hasil penyelidikan kepada aplikasi praktikal juga merupakan sebahagian daripada rancangan ini. - ©XINHUA


Attachments