WASHINGTON, 24 Mei. - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata keputusannya untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus terhadap barangan Kesatuan Eropah (EU) bermula 1 Jun bukanlah satu taktik rundingan, lapor agensi berita Jerman dpa.
"Saya tidak mencari sebarang perjanjian.
"Tetapi sekali lagi, tiada tarif jika mereka (Kesatuan Eropah) bina kilang di sini.
"Mereka tidak melayan kita dengan adil. Mereka bersatu untuk mengambil kesempatan terhadap kita," kata Trump di Washington.
Sejak kembali memegang jawatan Presiden pada Januari lalu, Trump menjadikan tarif sebagai teras utama dasar ekonominya, dalam usaha memaksa syarikat asing memindahkan operasi pengeluaran ke AS.
Pada April, beliau memperkenalkan tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan mengancam untuk mengenakan langkah tambahan terhadap pelbagai negara dan sektor.
Sejak itu, EU terlibat dalam rundingan bagi mengelakkan pelaksanaan tarif terbabit, di samping merangka langkah balas terhadap eksport AS. - ©BERNAMA