Boeing capai perjanjian dengan DOJ AS untuk elak pendakwaan berhubung nahas 737 Max

24/05/2025

SAN FRANCISCO, 24 Mei. - Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Jumaat mengumumkan bahawa pihaknya mencapai perjanjian tanpa pendakwaan dengan syarikat Boeing susulan dua nahas maut membabitkan pesawat 737 Max yang meragut 346 nyawa, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam pemfailan kepada mahkamah persekutuan di Texas, DOJ menyifatkan perjanjian itu sebagai 'penyelesaian yang adil dan wajar demi kepentingan awam', sambil menekankan bahawa ia memberikan pertanggungjawaban segera serta manfaat ketara kepada keluarga mangsa, di samping mengelakkan ketidaktentuan dan risiko perbicaraan.

Melalui perjanjian itu, Boeing akan mengelak daripada sabitan jenayah dan perbicaraan yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Menurut dokumen mahkamah, Boeing perlu 'membayar atau melabur' lebih US$1.1 bilion.

Jumlah itu merangkumi denda jenayah sebanyak US$487.2 juta.

Denda berjumlah US$243.6 juta yang telah dibayar sebelum ini akan dikreditkan.

Selain itu, perjanjian turut memperuntukkan US$444.5 juta untuk dana baharu kepada mangsa nahas, serta US$445 juta lagi bagi program pematuhan, keselamatan dan kualiti.

Susulan dua nahas yang berlaku di Indonesia dan Ethiopia, Boeing dituduh bersubahat menipu pihak pengawal selia dengan menyembunyikan maklumat penting berhubung sistem kawalan penerbangan 737 Max yang terlibat dalam kedua-dua insiden.

Pada 2021, syarikat itu mencapai perjanjian pendakwaan tertunda untuk mengelak prosiding jenayah, melibatkan pembayaran keseluruhan US$2.51 bilion - termasuk denda jenayah US$243.6 juta, pampasan US$500 juta kepada keluarga mangsa, dan US$1.77 bilion kepada pelanggan syarikat penerbangan.

"Para pekerja Boeing memilih keuntungan berbanding ketelusan dengan menyembunyikan maklumat penting daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkaitan operasi pesawat 737 Max dan berusaha menutup penipuan itu," kata Penolong Peguam Negara ketika itu, David Burns, susulan perjanjian 2021.

Perjanjian 2021 itu dijadualkan tamat dua hari selepas insiden panel pintu tercabut daripada pesawat 737 Max 9 milik Alaska Airlines pada 5 Januari 2024, yang berlaku selepas pesawat itu meninggalkan kilang Boeing tanpa pemasangan bolt utama.

Ekoran insiden itu, pihak pendakwa mendakwa Boeing melanggar syarat perjanjian 2021 kerana gagal melaksanakan program pematuhan dan etika yang berkesan.

Pada Julai 2024, Boeing bersetuju untuk mengaku bersalah terhadap tuduhan penipuan jenayah dalam satu perjanjian baharu yang membawa potensi denda US$487.2 juta.

Peguam kepada keluarga mangsa membantah keras perjanjian itu, menyifatkannya sebagai hukuman ringan terhadap syarikat gergasi berkenaan.

Seorang hakim persekutuan akhirnya menolak perjanjian itu atas kebimbangan berhubung kriteria keterangkuman, kepelbagaian dan kesaksamaan dalam pelantikan pemantau korporat.

Keluarga mangsa nahas sebelum ini turut mengkritik perjanjian terdahulu sebagai terlalu ringan, dan menuntut kebertanggungjawaban yang lebih besar serta menggesa agar pihak pengurusan tertinggi Boeing dihadapkan ke muka pengadilan. - ©BERNAMA



Attachments