Dua helikopter berlanggar ragut 5 nyawa di Finland

18/05/2025

TALLINN, 18 Mei. - Dua helikopter awam yang berlepas dari Tallinn pada pagi Sabtu berlanggar berhampiran Lapangan Terbang Eura di barat daya Finland pada awal tengah hari, mengorbankan kesemua lima orang di dalamnya, menurut Kementerian Luar Estonia, lapor Xinhua.

Menurut laporan Estonian Public Broadcasting (ERR) dan penyiar awam Finland Yle, Jabatan Penyelamat Satakunta menerima laporan pada 12.30 tengah hari (0930 GMT) Sabtu mengenai kejadian berhampiran Lapangan Terbang Eura bahawa dua helikopter telah berlanggar di udara sebelum terhempas.

Polis memaklumkan bahawa terdapat lima orang di dalam kedua-dua helikopter ringan Robinson R44 Raven itu pada masa kejadian - dua orang dalam sebuah pesawat dan tiga orang dalam pesawat yang lain.

Pada sidang media pada petang Sabtu, Ketua Unit Bantuan Konsular Kementerian Luar Estonia, Margus Sarglepp mengesahkan bahawa tiada mangsa yang terselamat. Polis Finland sedang berusaha untuk mengenal pasti mangsa.

Beberapa media Estonia melaporkan bahawa antara mangsa yang terkorban ialah ahli perniagaan Estonia, Oleg Sonajalg dan Priit Jagant. Nama penumpang lain masih belum didedahkan.-©BERNAMA



Attachments