GUANGZHOU, 18 Mei. - Bertutur dalam bahasa Mandarin dengan loghat Kantonis yang pekat, Yu Zhaoji bekerja dengan pantas namun tetap tenang pada sekeping kayu berbentuk seperti penyudu piza, hanya lebih sempit dan tebal menggunakan pisau ukiran khasnya.
Dalam beberapa minit, garisan berukir halus muncul di sepanjang alur bulat di dalam kayu, membentuk asas yang sesuai untuk acuan kuih bulan. Ia adalah kraf yang telah diasah oleh lelaki berusia 65 tahun itu selama setengah abad, meneruskan tradisi keluarga yang menjangkau kira-kira 160 tahun.
Perniagaan keluarga Yu, kedai Yu Tong, ialah pembuat terakhir acuan pastri tradisional buatan tangan di Guangzhou, ibu kota Wilayah Guangdong di selatan China dan pusat budaya Kantonis.
Diasaskan oleh moyang Yu pada akhir Dinasti Qing (1644-1911), kedai Yu Tong telah menghasilkan acuan ukiran tangan untuk pelbagai jenis pastri Kantonis tradisional bukan sahaja kuih bulan, tetapi juga kek hantaran perkahwinan dan biskut phoenix yang disajikan oleh restoran, kedai pastri dan isi rumah.
Selama berabad-abad, acuan buatan tangan telah memainkan peranan penting dalam membuat pastri Kantonis, dengan doh yang ditekan menjadi corak ukiran yang indah diatur dalam alur pelbagai bentuk.
Sebelum mesin mula menggantikan tenaga kerja manual dalam pembuatan acuan sekitar tahun 2000-an, kedai Yu Tong sibuk dengan tempahan daripada restoran dan kedai roti, terutamanya semasa tahun-tahun kemuncaknya antara 1970-an dan 1990-an.
Hari ini, menurut Yu, acuan buatan tangan telah hilang daripada industri makanan Guangzhou, kerana proses pengukiran dan penggilapan yang rumit menjadikannya jauh lebih mahal daripada alternatif buatan mesin. "Kita tahu, kelajuan adalah segala-galanya dalam dunia hari ini," katanya, sambil terus mengukir.
Kelajuan, bagaimanapun, adalah sangat bertentangan dengan ukiran acuan pastri, kraf yang menuntut pembelajaran dan latihan bertahun-tahun untuk dikuasai.
Kayu yang digunakan untuk membuat acuan mesti melalui proses pengeringan udara selama dua tahun sebelum ukiran boleh dimulakan, dan membuat acuan pastri buatan tangan melibatkan berpuluh-puluh langkah yang teliti.
Namun, Yu percaya mesin tidak akan pernah mengatasi manusia dalam kemahirannya. "Kerja mesin terlalu seragam. Ia tidak mempunyai jiwa," katanya sambil menambah bahawa kepingan buatan tangan sememangnya unik, sama seperti bahagian kiri dan kanan muka seseorang tidak boleh sama sepenuhnya.
Yu masih membuat dan menjual acuan pastri ke restoran mewah di Guangzhou dan Hong Kong, serta kepada pelanggan di Australia, Amerika Syarikat, dan, seperti yang dikatakannya, "di mana sahaja terdapat orang Cina."
"Lagipun, akar umbi mereka ada di sini, dan mereka mempunyai sentimen mendalam terhadap tradisi dan perkara tradisional," katanya.
Yu menyatakan bahawa dia tidak terlalu bimbang untuk menurunkan kraf ukiran acuan kepada generasi akan datang keluarganya, yang telah memilih apa yang dipanggilnya laluan kerjaya 'lebih menguntungkan'.
Dia juga telah mengambil beberapa perantis, walaupun bagi mereka, ukiran acuan hanya menjadi hobi. Namun, Yu berharap kraf nenek moyang ini akan berkekalan untuk generasi akan datang.
Pada Ogos 2020, daerah Intangible Cultural Heritage (ICH) pertama Guangzhou dibuka kepada orang ramai. Ia adalah sebahagian daripada Yongqing Block, sebuah komuniti pusat bandar bersejarah yang dihidupkan semula oleh projek pengubahsuaian yang dilancarkan oleh kerajaan tempatan pada 2016.
Kerajaan berhasrat untuk menggunakan daerah ICH, yang menawarkan ruang untuk paparan dan penjualan 12 tradisi warisan budaya tidak ketara Guangzhou, untuk mempromosi integrasi budaya dan pelancongan, serta pemeliharaan dan penerusan ketukangan tradisional.
Kedai Yu Tong telah dipindahkan dari tapak asalnya ke daerah ICH, di mana ia menjadi studio 'master' bersama 11 seni dan kraf tradisional lain, termasuk Canton enamel, Canton embroidery, ukiran tulang dan tarian singa.
Di kedai baharunya, Yu kini menunjukkan teknik ukirannya kepada pelancong yang ingin tahu yang melawat Blok Yongqing, iaitu destinasi popular di Guangzhou dari seluruh China dan luar negara.
Beliau juga menyediakan bengkel ukiran acuan pastri, kedua-dua sesi komersial terbuka kepada orang ramai dan bukan komersial yang disokong dan disubsidi oleh kerajaan. Peserta merangkumi semua peringkat umur, dari kanak-kanak kecil hingga warga emas.
"Sesetengah peserta menyertai bengkel untuk keseronokan, dan sebahagian lagi untuk mencabar diri mereka sendiri," katanya.
Menurut Yu, barangan buatan tangan terus menarik minat ramai peminat kerana ia dibuat dengan hati dan disemai dengan 'kemesraan dan emosi'.
"Jika awda telah membuat (acuan) sendiri, walaupun ia tidak sempurna, pastri yang dibuat dengannya akan lebih enak," kata Yu.
"Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata," tambahnya selepas berhenti seketika. - ©XINHUA