SHIZUOKA (Jepun), 18 Mei. - Keputusan pihak berkuasa tempatan untuk mempromosikan sebuah jambatan sebagai lokasi terbaik merakam gambar Gunung Fuji yang menarik untuk Instagram dilihat telah memakan diri.
Ini susulan bantahan penduduk setempat terhadap gangguan yang tercetus akibat kehadiran orang ramai yang memenuhi kawasan itu demi mendapatkan gambar kenangan seumur hidup mereka, lapor Agensi Berita Kyodo.
Lokasi yang dikenali sebagai 'Jambatan Impian Gunung Fuji' di Fuji, wilayah Shizuoka pada awalnya diharapkan menjadi tarikan pelancong yang memberi manfaat kepada kawasan itu. Sebaliknya, ia menimbulkan rungutan penduduk mengenai masalah tempat letak kereta haram dan bunyi bising yang melampau.
Semasa hari cuaca baik pada April lepas, lebih 50 orang beratur untuk mengambil gambar di sebuah tangga yang tular kerana kelihatan seolah-olah menghala terus ke Gunung Fuji setinggi 3,776 meter, gunung tertinggi di Jepun.
Zhu Yihao, seorang pengunjung dari Shanghai, China, berkata beliau berharap dapat merakam gambar yang 'indah dan unik' di lokasi itu.
Jambatan yang dibina pada 2016 untuk menghubungkan dua jalan raya utama, kini menarik kira-kira 1,000 pengunjung pada hari-hari tertentu.
Laman sesawang kerajaan bandar raya itu menggalakkan pelawat berkongsi gambar yang diambil di lokasi berkenaan di media sosial, namun pada masa sama, meminta mereka supaya mengambil gambar dengan senyap. Papan tanda amaran dalam beberapa bahasa juga dipasang di sekitar kawasan berkenaan selain menyediakan tempat letak kereta percuma.
Namun, usaha itu terbukti tidak berkesan apabila masalah parkir haram dan pencerobohan ke atas hartanah persendirian di kawasan kediaman berhampiran terus berlaku, menyebabkan penduduk tempatan memasang papan tanda amaran kepada pengunjung.
"Ia benar-benar menyusahkan kerana pelancong bercakap kuat sejak awal pagi," kata seorang wanita tempatan, manakala seorang lagi mempersoalkan sama ada terdapat penduduk yang menganggap tarikan pelancongan itu berbaloi dengan masalah yang ditimbulkannya.
Masalah serupa turut berlaku di satu lagi lokasi popular untuk bergambar dengan Gunung Fuji di Wilayah Yamanashi yang berdekatan, di mana pagar sementara didirikan di hadapan sebuah kedai serbaneka untuk menghalang pelancong daripada melintas jalan secara sembarangan ketika cuba merakam gambar ikonik gunung itu.
Profesor Pelancongan dari Josai International University, Yoshihiro Sataki mengkritik respons bandar raya itu sebagai tidak mencukupi, dengan berkata : "Adalah menjadi peranan kerajaan tempatan untuk mengutamakan kehidupan penduduk dan menggesa pelancong agar mengawal tingkah laku."
Sataki menambah bahawa kerajaan pusat, yang mempromosikan pelancongan masuk sebagai tonggak utama pertumbuhan ekonomi, perlu menyediakan sokongan kewangan dan lain-lain kepada pihak berkuasa tempatan untuk bertindak balas terhadap cabaran sedemikian, sambil menekankan bahawa pelancongan berlebihan semakin menjadi masalah besar bagi penduduk di kawasan yang menjadi tarikan utama. - ©BERNAMA