NEW DELHI, 5 Mei. - Kapal Tentera Laut Turkiye, 'TCG Buyukada' berlabuh di Karachi, Pakistan pada Ahad dalam perjalanan ke Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) edisi Ke-17 yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.
Menurut hantaran Kementerian Pertahanan Turkiye di platform media sosial X, kapal itu sebelum ini menjalankan latihan laut bersama kapal pemusnah Pasukan Pertahanan Maritim Jepun, 'JS Asahi' di perairan luar pantai Oman.
Tentera Laut Pakistan dalam satu kenyataan di X memaklumkan bahawa ketibaan 'TCG Buyukada' di Pelabuhan Karachi adalah lawatan muhibah.
Krunya dijadual mengadakan interaksi profesional bersama anggota Tentera Laut Pakistan, katanya sambil menyifatkan lawatan itu sebagai 'tanda kerjasama maritim yang semakin kukuh' antara kedua-dua negara.
Kapal itu akan meneruskan pelayaran ke Malaysia bagi menyertai pameran LIMA yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 24 Mei. - ©BERNAMA