WELLINGTON, 6 Mei. - Seorang ahli Parlimen New Zealand mengemukakan rang undang-undang melarang kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada mengakses media sosial, satu langkah yang boleh menyaksikan negara itu mengikut jejak Australia dalam mengetatkan peraturan ke atas platform digital, lapor Xinhua.
Ahli Parlimen Parti Nasional, Catherine Wedd mengemukakan Rang Undang-undang Ahli (Member's Bill) yang akan mewajibkan syarikat media sosial mengesahkan umur pengguna serta menyekat remaja bawah 16 tahun daripada membuka akaun.
Menurut Radio New Zealand (RNZ), platform yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda dan perlu mengambil 'semua langkah munasabah' demi memastikan pengguna berusia sekurang-kurangnya 16 tahun.
"Rang Undang-undang Pengguna Media Sosial Mengikut Umur bertujuan melindungi golongan muda daripada buli, kandungan tidak sesuai dan ketagihan media sosial, dengan mengehadkan akses untuk mereka yang berumur bawah 16 tahun," kata Wedd seperti dipetik RNZ.
Cadangan itu turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Christopher Luxon yang terbuka untuk menjadikannya sebagai rang undang-undang kerajaan - langkah yang akan mempercepatkan proses kelulusan di Parlimen.
"Ia bukan isu politik, sebaliknya isu nasional yang melibatkan kepentingan rakyat New Zealand," kata Luxon.
Rang undang-undang itu digubal berdasarkan model perundangan yang sedang dilaksanakan di Australia.
Jika diluluskan, ia membolehkan menteri berkaitan mengklasifikasikan platform tertentu sebagai tertakluk kepada had umur dan menetapkan semakan semula secara rasmi tiga tahun selepas penguatkuasaan untuk menilai kesannya.
Di Australia, rang undang-undang larangan media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun yang pertama seumpamanya di dunia diluluskan oleh Senat pada November 2024. - ©BERNAMA