SAN JOSE, 6 Mei. - Pengeluar mainan Amerika Syarikat, Mattel pada Isnin berkata pihaknya merancang untuk menaikkan harga bagi sesetengah produk yang dijual di pasaran domestik sebagai tindak balas terhadap tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Syarikat yang terkenal dengan anak patung Barbie, kereta Hot Wheels dan permainan kad Uno itu memaklumkan bahawa langkah penyesuaian harga akan diambil “jika perlu", namun tidak memperincikan jenis mainan yang akan terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ynon Kreiz bagaimanapun menekankan bahawa antara 40 hingga 50 peratus daripada keseluruhan portfolio produknya masih akan dijual pada harga di bawah US$20.
Pengkritik tarif Trump memberi amaran bahawa langkah itu boleh menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna dan kekurangan stok jika syarikat memilih untuk tidak mengimport daripada China bagi mengelak kos tinggi.
Trump bagaimanapun menolak kebimbangan itu, sambil mempertahankan tarif dengan alasan Amerika Syarikat terlalu banyak mengimport “barangan tidak berkualiti" dari China.
“Mungkin kanak-kanak akan miliki dua anak patung dan bukannya 30. Dan mungkin dua anak patung itu akan berharga beberapa dolar lebih mahal," kata Trump dalam temu bual bersama rancangan “Meet the Press" terbitan NBC pada Ahad.
Trump mengenakan tarif sehingga 145 peratus ke atas kebanyakan barangan yang diimport dari China, negara yang menjadi pusat utama industri mainan global.
Mattel memaklumkan bahawa pihaknya kini berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap produk buatan China, selepas memindahkan pengeluaran bagi 280 produk dari China tahun lalu, dan merancang untuk memindahkan tambahan 500 lagi tahun ini.
Syarikat itu menyatakan sekitar 40 peratus daripada pengeluaran globalnya kini masih berpangkalan di China, berbanding purata industri yang mencecah 80 peratus.
Pada masa ini, kira-kira 20 peratus daripada pengeluaran global Mattel dihantar ke pasaran Amerika Syarikat.
Syarikat itu menjangkakan angka berkenaan akan menurun kepada bawah 15 peratus tahun depan dan bawah 10 peratus menjelang 2027. - ©BERNAMA