Naib Presiden Amerika Syarikat sokong hubungan ketenteraan lebih erat dengan India, promosi pesawat F-35

23/04/2025

NEW DELHI, 23 April. - Naib Presiden Amerika Syarikat, J.D. Vance menggesa peningkatan kerjasama ketenteraan dengan India serta mengemukakan cadangan penjualan pesawat pejuang halimunan F-35 buatan negara itu kepada New Delhi, pada Selasa.


Menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara, Vance berkata Amerika menjalankan lebih banyak latihan ketenteraan bersama India berbanding mana-mana negara lain, dan kedua-dua pihak akan turut menghasilkan bersama pelbagai senjata dan kelengkapan yang mereka perlukan untuk mengekang penceroboh asing.


Inisiatif US-India COMPACT (Catalysing Opportunities for Military Partnership, Accelerated Commerce and Technology) yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Narendra Modi pada Februari lepas akan menjadi asas kepada kerjasama lebih erat pada masa depan, katanya dalam ucapan di Jaipur, India.


Beliau turut merujuk kepada penubuhan Perikatan Industri Sistem Autonomi Bersama yang dilancarkan oleh Modi dan Trump bagi membangunkan dron maritim dan sistem anti-dron, sambil menyatakan bahawa India adalah tempat yang sesuai untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kepimpinan Quad tahun ini.


Quad yang turut disertai Jepun dan Australia, dilihat sebagai satu usaha untuk mengimbangi pengaruh China di rantau Asia-Pasifik.


Kepentingan Amerika Syarikat dan India dalam memastikan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, aman dan makmur adalah sejajar, kata Vance.


“Kita berdua sedar rantau ini mesti dilindungi daripada kuasa-kuasa bermusuhan yang berhasrat untuk menguasainya," kata beliau.


Vance berkata Washington mahu meningkatkan lagi kerjasama dengan New Delhi dan menjual lebih banyak kelengkapan ketenteraan kepada negara itu.


“Pesawat generasi kelima F-35 buatan Amerika, sebagai contoh, boleh memberi keupayaan baharu kepada Tentera Udara India untuk mempertahankan ruang udaranya dan melindungi rakyatnya," katanya.


Merujuk kepada perang tarif global yang dilancarkan oleh Trump, Vance berkata pentadbiran itu mahu menyeimbangkan semula perdagangan global dan mencari rakan dagang yang berasaskan prinsip keadilan dan kepentingan nasional bersama.


“Kami mahu bekerjasama dengan pihak dan negara yang mengiktiraf hakikat sejarah masa ini, bahawa kita perlu bersatu membina satu sistem perdagangan global yang seimbang, terbuka serta stabil dan adil," kata beliau.


Naib Presiden itu turut menekankan potensi kerjasama dalam sektor tenaga, termasuk tenaga nuklear.


Beliau berkata Amerika Syarikat mahu mengeksport lebih banyak bahan api kepada India serta mengambil bahagian dalam penerokaan sumber mineral dan hidrokarbon luar pesisir negara itu.


Vance menyambut baik pengumuman Kerajaan Modi baru-baru ini untuk meminda undang-undang liabiliti nuklear sivil India, yang selama ini menghalang syarikat AS daripada mengeksport reaktor modular kecil dan membina reaktor berskala besar rekaan Amerika di negara itu.


“Kami percaya tenaga Amerika boleh membantu mencapai matlamat pengeluaran tenaga nuklear India," katanya, sambil menegaskan bahawa masa depan kecerdasan buatan tidak dapat direalisasikan tanpa keselamatan dan penguasaan tenaga.


Vance bersama isterinya Usha dan tiga anak mereka tiba di New Delhi pada Isnin untuk lawatan empat hari ke India.


Mereka melawat Kubu Amber di Jaipur pada Selasa pagi dan dijadual ke Agra bagi melihat Taj Mahal pada Rabu. - ©BERNAMA


Attachments