7 maut, 12 cedera dalam perlanggaran bas mini-lori di timur Turkiye

23/04/2025

ANKARA, 23 April. - Tujuh orang maut manakala 12 lagi cedera dalam nahas membabitkan sebuah bas mini dan lori di wilayah Van, timur Turkiye pada Selasa, menurut Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya.


Kemalangan jalan raya itu berlaku kira-kira 4.30 petang waktu tempatan (1330 GMT) di lebuh raya yang menghubungkan Van dan wilayah Hakkari di timur Turkiye, kata Yerlikaya menerusi akaun media sosialnya.


Menurut laporan Xinhua yang memetik Anadolu Ajansi, bas mini berkenaan bertembung dengan lori kotak yang datang dari arah bertentangan berhampiran terowong Guzeldere di lebuh raya Van-Hakkari.


Kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital berdekatan, dan menurut pegawai tempatan, angka korban mungkin meningkat memandangkan empat daripada mangsa berada dalam keadaan kritikal.


Pasukan kecemasan termasuk polis, anggota keselamatan luar bandar (gendarmerie), petugas perubatan dan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.


Menurut Direktorat Keselamatan Am, sebanyak 2,713 nyawa terkorban akibat kemalangan jalan raya di seluruh Turkiye pada 2024. Jumlah kemalangan tertinggi direkodkan di Istanbul, Ankara dan Izmir, dengan Istanbul sahaja mencatatkan 97,354 insiden. - ©BERNAMA


Attachments