NEW YORK, 24 April. - Kebakaran hutan yang bermula pada petang Selasa di New Jersey merebak pantas sehingga memusnahkan lebih 4,600 hektar kawasan menjelang Rabu, memaksa pengisytiharan darurat dan pemindahan ribuan penduduk, lapor Xinhua.
Pemangku Gabenor New Jersey, Tahesha Way mengisytiharkan darurat bermula 7 pagi Rabu.
Beliau memaklumkan tiada kematian atau kerosakan struktur dilaporkan setakat ini.
Kebakaran yang dikenali sebagai Jones Road Wildfire tercetus di kawasan Pengurusan Hidupan Liar Greenwood Forest di Ocean County, sebelum merebak dengan pantas sehingga memusnahkan 3,400 hektar (8,500 ekar) menjelang malam, menurut Perkhidmatan Kebakaran Hutan New Jersey.
Didorong tiupan angin kencang mencecah 40 kilometer sejam, kebakaran hanya dapat dikawal 10 peratus pada malam Selasa.
Kebakaran turut mengancam 1,320 struktur dan mengakibatkan 3,000 penduduk di Ocean dan Lacey Township berpindah.
Menjelang 6:30 pagi Rabu, semua arahan pemindahan ditarik balik. Namun, lebih 25,000 kediaman terputus bekalan elektrik selepas pihak berkuasa mematikan talian bagi tujuan keselamatan.
“Kita benar-benar berjaya mengelakkan bencana besar. Kebakaran ini masih belum berjaya dikawal sepenuhnya. Banyak lagi usaha perlu dilakukan," kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Kebakaran Hutan New Jersey, Shawn LaTourette pada Rabu.
Rakaman visual menunjukkan asap tebal mula menjejaskan kawasan selatan New Jersey, termasuk Atlantic City.
Ramalan cuaca menjangkakan tiupan angin berubah arah ke utara, menuju ke bandar raya New York menjelang malam Rabu dan berkemungkinan mencapai Long Island serta kawasan tengah utara New Jersey pada Khamis. - ©BERNAMA