NEW DELHI, 24 April. - Bangladesh menawarkan penubuhan zon ekonomi khas kepada pelabur Qatar dalam usaha memperkukuh hubungan dagangan dan komersial dengan negara Teluk itu.
Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus mengadakan beberapa pertemuan dengan pegawai kanan Qatar dalam lawatan empat harinya ke Doha bermula Isnin.
Dalam pertemuan pada Rabu bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Negara bagi Pertahanan Sheikh Saoud Bin Abdulrahman Bin Hassan Al Thani, Yunus menyampaikan kesediaan negaranya untuk mengalu-alukan syarikat Qatar.
“Ketua Penasihat menegaskan kesediaan Bangladesh untuk memudahkan pelaburan industri dari Qatar melalui peluang pelaburan yang lebih teratur serta sokongan infrastruktur," menurut kenyataan yang dikongsi di laman sosial X milik Yunus.
Bangladesh turut menawarkan zon ekonomi eksklusif kepada pengilang Qatar, termasuk dalam sektor pertahanan.
Dalam pada itu, Yunus turut merakamkan penghargaan kepada Qatar atas keputusannya untuk merekrut 725 anggota tentera Bangladesh dan berharap bahawa langkah itu akan mengukuhkan lagi hubungan pertahanan dua hala.
Beliau juga bertemu dengan Menteri Perdagangan Qatar Sheikh Faisal Bin Thani Bin Faisal Al Thani, dan menyampaikan ucaptama dalam acara perniagaan bertajuk “Bilateral Investment Opportunities Between Qatar and Bangladesh" pada hari sama.
Yunus mengetengahkan pelbagai pembaharuan ekonomi yang sedang dilaksanakan serta peluang pelaburan dalam sektor pengangkutan, perbankan dan hospitaliti di Bangladesh kepada Menteri Perdagangan Qatar.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Bangladesh sebagai hab ekonomi dan pembuatan," katanya.
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Tenaga Qatar, Saad Bin Sherida Al Kaabi turut mengadakan pertemuan dengan Yunus pada Selasa.
Qatar bersetuju untuk memperbaharui memorandum persefahaman bekalan LNG yang telah tamat tempoh baru-baru ini dan bersedia untuk memuktamadkan butiran teknikal berkaitan pembinaan terminal LNG berasaskan darat di Bangladesh, menurut Yunus.
Beliau turut menyertai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Qatar, Sheikha Hind Bint Hamad Al Thani dalam satu perbincangan meja bulat mengenai krisis pelarian Rohingya pada Rabu. - ©BERNAMA