London umum perbincangan Ukraine capai kemajuan penting ke arah kata sepakat

24/04/2025

MOSCOW, 24 April. - Pejabat Luar United Kingdom memaklumkan bahawa perbincangan mengenai Ukraine yang diadakan di London membawa kepada kemajuan penting ke arah mencapai kata sepakat untuk langkah seterusnya, lapor Sputnik/RIA Novosti.


Pejabat Luar Negeri UK memaklumkan mesyuarat di peringkat menteri luar negeri ditangguhkan dan akan digantikan dengan pertemuan di peringkat lebih rendah.


Menurut Sky News, menteri luar Perancis dan Jerman menangguhkan lawatan mereka ke London susulan pembatalan lawatan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio dan utusan khas Presiden Donald Trump Steve Witkoff.


“Perbincangan hari ini berlangsung secara produktif dan berjaya, dengan kemajuan ketara dicapai dalam usaha membentuk pendirian bersama mengenai langkah seterusnya.


“Semua pihak bersetuju untuk terus berkoordinasi dan menantikan rundingan selanjutnya dalam masa terdekat," menurut kenyataan kementerian itu pada Rabu.


Kenyataan itu turut menambah bahawa semua pihak yang terlibat dalam perbincangan di London mengulangi sokongan mereka terhadap komitmen Trump “untuk menghentikan pertumpahan darah dan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan."


Pada Rabu, The Washington Post melaporkan bahawa Amerika Syarikat kecewa dengan keengganan Ukraine untuk menerima sebarang konsesi wilayah serta kecenderungannya untuk membincangkan gencatan senjata sebelum isu-isu lain. - ©BERNAMA


Attachments