SHANGHAI, 24 April. - The China National Space Administration (CNSA) mendedahkan pada Khamis bahawa 'lunar probe' Chang'e-8 dijadualkan dilancarkan sekitar 2029, dan akan membawa muatan daripada 11 negara dan wilayah serta satu organisasi antarabangsa sebagai sebahagian daripada kerjasama antarabangsa.
Pengumuman itu dibuat pada Majlis Perasmian Hari Angkasa China 2025, yang disambut setiap tahun pada 24 April.
Misi Chang'e-8 akan menyasarkan dataran tinggi Leibnitz-Beta berhampiran kawasan kutub selatan bulan, dan akan bekerjasama dengan misi Chang'e-7 sebelum ini untuk menjalankan penerokaan saintifik dan eksperimen penggunaan sumber di tapak. Usaha ini akan meletakkan asas bagi penubuhan Stesen Penyelidikan Bulan Antarabangsa masa hadapan.
Menurut CNSA, 10 projek kerjasama terpilih termasuk robot pelbagai fungsi yang direka oleh penyelidik dari Hong Kong, 'rover' bulan yang dibangunkan oleh Pakistan dan International Society for Terrain-Vehicle Systems (ISTVS), kenderaan peneroka yang dibuat oleh Turkiye, dan instrumen radio astronomi oleh Afrika Selatan dan Peru.
Projek lain termasuk susunan retroreflektor laser dari Itali, penganalisis plasma dan habuk serta pengesan zarah tenaga tinggi dari Rusia, penganalisis neutron dari Thailand, sistem pengimejan permukaan bulan dari Bahrain dan Mesir, dan pemantau potensi bulan dari Iran.
Ketua CNSA, Shan Zhongde, berkata China akan bekerjasama rapat dengan rakan kongsi antarabangsa untuk mencapai penemuan saintifik baharu dan penemuan teknologi yang akhirnya akan memberi manfaat kepada semua manusia.
CNSA mengumumkan pada Oktober 2023 peluang kerjasama antarabangsa untuk misi bulan Chang'e-8, yang menawarkan 200 kilogram sumber muatan untuk rakan kongsi global. Sebanyak 41 cadangan kerjasama telah diterima. - ©XINHUA