LONDON, 24 April. - Kesatuan Eropah (EU) telah mengenakan denda yang tinggi terhadap dua gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple dan Meta, sebagai tindakan penguatkuasaan pertama di bawah Akta Pasaran Digital (DMA) yang baharu dikuatkuasakan.
Langkah itu menandakan pendirian lebih tegas Brussels dalam usaha mengehadkan dominasi syarikat teknologi besar dalam ekonomi digital, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Apple dikenakan denda sebanyak €500 juta (US$570 juta) kerana menghalang pembangun aplikasi daripada mengarahkan pengguna ke pilihan lebih murah di luar ekosistem App Store miliknya.
Meta pula didenda €200 juta kerana memaksa pengguna Instagram dan Facebook untuk menerima iklan disasarkan atau membayar untuk memilih keluar - pendekatan yang disifatkan EU sebagai memaksa dan bercanggah dengan prinsip pilihan pengguna.
DMA yang mula berkuat kuasa awal tahun ini bertujuan meningkatkan pilihan pengguna dan mewujudkan persaingan yang lebih adil dalam ruang digital EU dengan mengehadkan kuasa pasaran syarikat gergasi yang digelar 'penjaga gerbang'.
Denda itu, yang pada asalnya dijangka diumumkan pada Mac, dilaporkan tertangguh susulan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak antara EU dan AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.
Walaupun berlaku penangguhan, Brussels tetap meneruskan tindakan berkenaan sebagai bukti komitmen untuk mengawal selia platform digital.
Apple mengkritik keputusan berkenaan dengan menyatakan bahawa syarikat itu 'dijadikan sasaran secara tidak adil' oleh EU.
“Kami telah melaburkan ratusan ribu jam kejuruteraan dan membuat puluhan perubahan untuk mematuhi undang-undang ini," menurut kenyataan Apple.
Meta turut membantah tindakan itu. Ketua Hal Ehwal Global Meta, Joel Kaplan menuduh EU cuba 'menyekat perniagaan Amerika yang berjaya sambil membenarkan syarikat China dan Eropah beroperasi di bawah standard berbeza'.
Langkah ini dijangka menambah ketegangan antara Silicon Valley dan EU, tatkala pengawal selia di kedua-dua belah Atlantik bergelut untuk mengurus pengaruh firma teknologi terbesar dunia. - ©BERNAMA