JOHANNESBURG, 24 April. - Negara-negara di seluruh dunia diseru agar memperkukuh kerjasama dalam menangani isu kekurangan makanan, ketidaktentuan iklim dan pengecualian sistemik yang semakin mengancam kestabilan sistem makanan global, kata Menteri Pertanian Afrika Selatan, John Steenhuisen.
Bercakap pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Pertanian G20 yang berlangsung di Durban dari Rabu hingga Jumaat, Steenhuisen berkata Afrika Selatan kini berdepan dengan peningkatan kos input pertanian, kejutan iklim yang sukar diramal serta kekangan fiskal yang mencabar.
Menurut beliau, jalan penyelesaian terletak pada pemindahan teknologi dan inovasi, khususnya dalam merapatkan jurang antara pencipta dan mereka yang memerlukan akses kepada teknologi itu.
“Negara-negara perlu membangunkan sistem yang dapat memenuhi keperluan makanan dunia tanpa menjejaskan ekosistem yang mendukungnya," kata Steenhuisen.
Beliau turut menegaskan komitmen Afrika Selatan terhadap pendekatan yang inklusif, telus dan berasaskan tindakan nyata.
“Sebagai tuan rumah dan pengerusi kumpulan kerja ini, Afrika Selatan komited memastikan platform ini menjadi ruang kepada cita-cita bersama, kerjasama praktikal serta transformasi jangka panjang," katanya.
Mesyuarat pelbagai kumpulan kerja G20 sedang berlangsung di Afrika Selatan sejak negara itu mengambil alih jawatan Pengerusi G20 pada 1 Dis lalu.
Afrika Selatan turut dijadual menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin G20 pada November ini. - ©BERNAMA