Lima maut dalam kebakaran hostel di Poland

14/04/2025

WARSAW, 14 April. - Lima individu maut dalam kebakaran di sebuah hostel tidak berlesen di selatan Poland, menurut pihak berkuasa pada Isnin selepas api dipadamkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Seramai 12 orang dewasa lain berjaya diselamatkan dari bangunan yang terbakar, menurut bomba tempatan di bandar kecil Pszow, wilayah Silesia.


Kebakaran di hostel itu disedari lewat malam Ahad.


"Ketika bomba tiba di tempat kejadian, mereka mendapati seluruh bangunan dua tingkat dan lotengnya sedang terbakar," kata seorang jurucakap bomba.


Api merebak dengan cepat, yang mungkin menjadi sebab lima mangsa tidak sempat menyelamatkan diri, tambahnya.


Sejumlah 120 anggota bomba dengan 34 kenderaan kecemasan dikerahkan di tempat kejadian, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Jacek Dobrzynski di X.


Tetamu di hostel itu adalah pekerja binaan, lapor penyiar TVN24 Poland.


Ketua pentadbiran wilayah mengesahkan pengendali hostel itu tidak mempunyai lesen untuk perniagaan tersebut. - ©BERNAMA


Attachments