TOKYO, 14 April. - Menteri Jepun yang bertanggungjawab dalam rundingan tarif dengan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menolak untuk membincangkan isu mata wang, dengan menyatakan bahawa perkara itu sepatutnya dibincangkan oleh Menteri Kewangan kedua-dua negara, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menteri Pemulihan Ekonomi, Ryosei Akazawa membuat kenyataan itu di parlimen selepas rakan sejawatannya dalam rundingan itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent menyatakan di media sosial bahawa beliau menantikan penglibatan yang produktif mengenai tarif, halangan bukan tarif, isu mata wang dan subsidi kerajaan.
“Isu mata wang sepatutnya terus dibincangkan dengan teliti oleh Menteri Kewangan (Katsunobu) Kato dan (Setiausaha Perbendaharaan) Bessent," kata Akazawa semasa sesi Jawatankuasa Belanjawan di Dewan Perwakilan.
Akazawa, yang dijangka berkunjung ke AS minggu ini untuk rundingan tarif dua hala, berkata perkara itu telah dijelaskan ketika Perdana Menteri Shigeru Ishiba bertemu Bessent pada Februari lepas semasa lawatannya ke AS untuk menghadiri sidang kemuncak dengan Presiden Donald Trump.
“Saya akan memberikan sepenuh tumpuan (dalam rundingan) untuk mengutamakan perkara yang paling sesuai dan berkesan demi kepentingan Jepun," katanya.
Ishiba telah memberi mandat kepada Akazawa untuk mengetuai rundingan tarif itu bagi menghasilkan 'keputusan terbaik' buat Jepun selepas bersetuju dengan Trump melalui panggilan telefon untuk memulakan rundingan peringkat menteri.
Walaupun sebahagian daripada tarif 'timbal balik' sebanyak 24 peratus yang dikenakan oleh Trump ke atas barangan Jepun telah ditangguh selama 90 hari, tarif asas sebanyak 10 peratus masih kekal, sebagai tambahan kepada cukai ke atas kereta, keluli dan aluminium.
Ketua parti pembangkang utama Parti Demokratik Perlembagaan Jepun, Yoshihiko Noda memberi amaran semasa sesi jawatankuasa itu bahawa AS mungkin akan mendesak nilai dolar yang lemah di bawah pentadbiran Trump dan menyasarkan perjanjian serupa dengan Plaza Accord pada 1985 apabila ekonomi utama termasuk Jepun bersetuju untuk membantu menyusut nilai mata wang AS. - ©BERNAMA