PPP mulakan pendaftaran untuk pemilihan calon Presiden Korea Selatan

14/04/2025

SEOUL, 14 April. - Parti Kuasa Rakyat (PPP) Korea Selatan pada Isnin membuka pendaftaran selama dua hari untuk calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti konservatif itu untuk menamakan calonnya bagi Pilihan Raya Presiden pada 3 Jun, lapor Agensi Berita Yonhap.  


Beberapa tokoh terkemuka dijangka mengambil bahagian dalam pemilihan itu, termasuk bekas Menteri Buruh, Kim Moon-soo, bekas Pengerusi PPP, Han Dong-hoon, serta Ahli Parlimen PPP, Ahn Cheol-soo dan Na Kyung-won yang telah mengumumkan pencalonan mereka secara rasmi.  


Bekas Datuk Bandar Daegu, Hong Joon-pyo, dijangka mengumumkan secara rasmi hasratnya untuk bertanding pada Isnin, menjadikannya percubaan ketiga beliau untuk jawatan Presiden.  


Sementara itu, Datuk Bandar Seoul, Oh Se-hoon dan bekas Ahli Parlimen PPP Yoo Seong-min mengumumkan pada hujung minggu bahawa mereka tidak akan menyertai pemilihan itu.  


Jawatankuasa Pemilihan PPP akan meneliti semua permohonan dan dijadualkan mengumumkan senarai calon yang layak ke pusingan pertama pemilihan pada Rabu. Parti itu akan mengesahkan calon Presidennya pada 3 Mei. - ©BERNAMA


Attachments