WASHINGTON, 12 April. - Meskipun pentadbiran semasa Amerika Syarikat (AS) giat berusaha menyusun semula tenaga kerja persekutuan, perbelanjaan kerajaan persekutuan sebenarnya meningkat berbanding tempoh sama tahun lepas, lapor The Wall Street Journal (WSJ) pada Jumaat, menurut Xinhua.
Analisis WSJ yang memetik penyata kewangan harian daripada Jabatan Perbendaharaan AS menunjukkan bahawa sejak Donald Trump memegang jawatan presiden pada Januari lepas, perbelanjaan kerajaan telah melebihi perbelanjaan semasa pentadbiran terdahulu di bawah Joe Biden dalam tempoh sama pada 2024 sebanyak US$154 bilion.
Pentadbiran Trump - khususnya melalui Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai oleh Elon Musk - telah melaksanakan langkah-langkah pengurangan pekerjaan dan penamatan kontrak.
Dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan Khamis, Musk berkata beliau menjangkakan DOGE akan menjimatkan sebanyak US$150 bilion hasil daripada 'pengurangan pembaziran dan penipuan' bagi tahun fiskal 2026, jauh lebih rendah daripada sasaran asalnya yang mencecah satu trilion dolar. - ©BERNAMA