LONDON, 12 April. - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer telah memanggil Parlimen untuk bersidang secara tergempar pada Sabtu bagi mempercepatkan penggubalan undang-undang yang bertujuan menyelamatkan loji keluli British Steel di Scunthorpe daripada ditutup, lapor Xinhua.
Rang Undang-Undang (RUU) Industri Keluli (Langkah Khas), yang dijangka diluluskan dalam tempoh sehari, akan memberikan kuasa kepada Setiausaha Perniagaan untuk campur tangan secara langsung dalam operasi syarikat itu bagi memastikan pengeluaran diteruskan, menurut laporan media tempatan.
Di bawah RUU itu, Setiausaha Perniagaan diberi kuasa untuk mendapatkan bahan mentah, mengarahkan pihak pengurusan meneruskan operasi relau, serta mengambil semula pekerja yang telah diberhentikan bagi memastikan loji terus beroperasi.
Loji Scunthorpe dianggap penting kepada infrastruktur industri dan strategik Britain. Ia menghasilkan sebahagian besar landasan kereta api di negara itu dan merupakan satu-satunya loji keluli di Britain yang masih mampu menghasilkan keluli daripada bijih besi.
British Steel sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menutup relau bagas di Scunthorpe, dengan alasan mengalami kerugian kewangan. Kerajaan memberi amaran bahawa langkah itu boleh menjejaskan sehingga 3,000 pekerjaan dan menghapuskan satu-satunya keupayaan negara itu untuk menghasilkan keluli sedemikian.
Sekiranya relau bagas itu ditutup secara kekal, Britain akan menjadi satu-satunya negara dalam Kumpulan Tujuh (G7) yang tidak lagi memiliki keupayaan untuk mengeluarkan keluli sedemikian, satu senario yang menurut pegawai boleh memberi kesan besar kepada pertahanan negara dan kebebasan ekonomi. - ©BERNAMA