Mexico akan hantar bekalan air ke Texas susulan aduan AS

12/04/2025

MEXICO CITY, 12 April. - Mexico akan 'segera menghantar' berjuta-juta meter padu air ke negeri Texas di Amerika Syarikat (AS), umum Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum pada Jumaat, lapor Xinhua.


Pengumuman itu sebagai respons kepada aduan Presiden AS, Donald Trump yang dibuat sehari sebelumnya.


“Sejumlah besar bekalan air akan dihantar berdasarkan bekalan yang tersedia, dan kami berharap musim hujan yang akan datang akan menambah simpanan air, membolehkan kami menghantar bekalan tambahan ke AS," kata Sheinbaum pada sidang media.


Sheinbaum turut menjelaskan bahawa satu perjanjian telah disediakan untuk menetapkan pembahagian proses rawatan air, yang sebahagiannya dijalankan di Mexico manakala selebihnya di negeri California, AS. Namun, beliau menyatakan bahawa pihak AS belum melaksanakan tanggungjawabnya dalam perjanjian itu kerana masih gagal menaik taraf loji rawatan seperti yang dipersetujui.


Pengumuman itu dibuat selepas Trump mengkritik Mexico pada Khamis, menuduh negara itu berhutang berjuta-juta liter air kepada Texas.


Trump turut mengancam untuk mengenakan tarif dan sekatan baharu melainkan Mexico menghormati perjanjian air dua hala 1944, yang mewajibkan kedua-dua negara berkongsi sumber air Sungai Colorado dan Sungai Rio Grande (Bravo) yang membentuk sempadan bersama mereka. - ©BERNAMA


Attachments