Britain larang kemasukan daging, produk tenusu dari EU untuk kegunaan peribadi

12/04/2025

LONDON, 12 April. - Kerajaan Britain pada Jumaat mengumumkan peluasan larangan bagi kemasukan daging dan produk tenusu untuk kegunaan peribadi, yang kini meliputi semua negara Kesatuan Eropah (EU), susulan penularan penyakit kaki dan mulut di benua itu, lapor Xinhua. 


Bermula Sabtu, pengembara yang memasuki Britain tidak lagi dibenarkan membawa masuk daging lembu, kambing, biri-biri, babi dan produk tenusu dari semua negara EU.  


Barangan seperti sandwic, keju, daging yang diawet, daging mentah dan susu adalah dilarang, tanpa mengira pembungkusannya atau sama ada ia dibeli di kedai bebas cukai.  


Langkah itu bertujuan melindungi kesihatan ternakan Britain, keselamatan petani serta jaminan bekalan makanan negara, menurut kerajaan.  


Pengembara yang didapati membawa barangan itu akan diminta menyerahkannya di sempadan atau berdepan rampasan dan pemusnahan. Dalam kes yang serius, individu yang tidak mematuhi arahan itu boleh dikenakan denda sehingga £5,000 (US$6,550) di England.  


Awal tahun ini, Britain telah melarang import peribadi ternakan ruminan seperti lembu dan kambing, babi serta produk tenusu dari Jerman, Hungary, Slovakia dan Austria berikutan pengesahan wabak penyakit kaki dan mulut di negara-negara itu. Sekatan baharu kini terpakai kepada semua negara anggota EU. - ©BERNAMA


Attachments