400,000 penduduk Gaza hilang tempat tinggal sejak 18 Mac

12/04/2025

NEW YORK, 12 April. - Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menganggarkan kira-kira 400,000 penduduk di Semenanjung Gaza kehilangan tempat tinggal susulan kegagalan perjanjian gencatan senjata, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).


“Mereka kini turut berdepan sekatan paling lama terhadap bantuan kemanusiaan dan bekalan komersial sejak peperangan bermula," kata UNRWA dalam satu hantaran di platform X.


UNRWA turut menggesa supaya perjanjian gencatan senjata segera diperbaharui dan laluan bantuan kemanusiaan serta bekalan komersial ke Gaza dibuka tanpa sebarang halangan.


Sejak 2 Mac lepas, rejim Israel telah menyekat kemasukan bekalan penting termasuk makanan dan air ke Semenanjung Gaza susulan penutupan laluan lintasan sempadan.


Tindakan itu telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang semakin kritikal, sekali gus memburukkan lagi keadaan kebuluran dalam kalangan penduduk Gaza.-©BERNAMA


Attachments