EU rancang tindakan balas jika rundingan tarif dengan AS gagal

12/04/2025

BRUSSELS, 12 April. - Kesatuan Eropah (EU) mengutamakan rundingan dengan Washington, namun blok itu merancang tindakan balas terhadap Amerika Syarikat (AS) sekiranya rundingan tarif tidak mencapai keputusan memuaskan, termasuk menerusi tindakan balas dan kepelbagaian perdagangan, lapor Anadolu Ajansi(AA).  


Fahaman perlindungan dan pendekatan “America First" oleh Presiden AS Donald Trump telah merenggangkan hubungan antara EU dan AS. Kedua-dua pihak mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan terbesar di dunia dengan jumlah tahunan melebihi US$1.7 trilion.  


Bagaimanapun, dasar agresif dan retorik keras Trump dalam kedua-dua penggal pertama dan kedua dilihat telah melemahkan persepsi mengenai perikatan bersama.  


Eksport EU ke AS berjumlah US$605.8 bilion, manakala import AS ke blok itu mencecah US$379.9 bilion pada tahun lepas, menurut data yang dikumpul oleh Anadolu. Ini menyaksikan EU mencatat lebihan dagangan sebanyak US$225.8 bilion, sesuatu yang tidak disenangi oleh Trump. 

 

Negara-negara EU turut kecewa dengan tindakan Trump mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap keluli dan aluminium, dan EU menyatakan ia akan bertindak balas dengan pantas dan berkadar walaupun masih mengutamakan rundingan.  


Dalam masa sama, Washington turut mengenakan tarif timbal balik sebanyak 25 peratus ke atas industri automotif EU.  


EU juga berdepan tarif timbal balik sebanyak 20 peratus ke atas keseluruhan blok itu.  


Usaha EU untuk berunding bagaimanapun tidak mendapat maklum balas positif daripada AS, menyebabkan blok itu bersedia untuk bertindak balas terhadap tarif keluli dan aluminium melalui tindakan balas berperingkat dengan yang pertama bermula pada 15 April.  


Trump berkata lebih 75 negara kini sedang berunding dengannya mengenai tarif dan tidak bertindak balas.  


Tarif timbal balik asas sebanyak 10 peratus masih akan kekal berkuat kuasa sepanjang tempoh penangguhan itu, sekali gus memberi ruang kepada negara-negara Eropah untuk bernafas.  


Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen menyambut baik penggantungan tarif itu sebagai langkah penting ke arah penstabilan, sambil menegaskan EU komited terhadap usaha rundingan.  


Beliau berkata blok itu akan mempelbagaikan rakan perdagangannya dengan menjalinkan kerjasama dengan negara lain yang menyumbang 87 peratus daripada perdagangan global, di samping mempercepatkan usaha menghapuskan halangan dalam pasaran dalaman blok itu.  


Beliau turut mengumumkan EU akan menangguhkan tindakan balas terhadap AS sepanjang tempoh 90 hari itu bagi memberi ruang dan masa secukupnya untuk proses rundingan.-©BERNAMA


Attachments