3 maut, 1 cedera pesawat kecil terhempas di Florida, AS

12/04/2025

HOUSTON, 12 April. - Tiga maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah pesawat kecil terhempas berhampiran Boca Raton Regional Airport di Florida, tenggara Amerika Syarikat (AS) pada pagi Jumaat, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.  


“Pesawat jenis Cessna 310 terhempas kira-kira 10.20 pagi waktu tempatan pada Jumaat, 11 April, selepas berlepas dari Boca Raton Regional Airport, Florida. Tiga orang berada di dalam pesawat itu," menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat. Pesawat itu dijadual menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tallahassee.  


Penolong Ketua Bomba Penyelamat Boca Raton, Michael LaSalle berkata dalam satu sidang media bahawa ketiga-tiga mangsa dalam pesawat terbunuh, manakala seorang lelaki di darat mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa.  

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) akan menjalankan siasatan berhubung insiden itu, menurut kenyataan FAA. 


Media tempatan melaporkan bahawa pesawat berkenaan mengalami masalah mekanikal beberapa minit sebelum terhempas, tidak jauh dari lokasi nahas.-©BERNAMA


Attachments