WASHINGTON, 12 April. - Wakil Tetap Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Dr Abdulaziz bin Mohamed Al-Wasel dan Wakil Tetap Perancis ke PBB, Jerome Bonnafon telah mempengerusikan bersama sesi taklimat kepada negara anggota dan pemerhati PBB di ibu pejabat badan dunia itu di New York City.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), sesi itu membincangkan persiapan untuk persidangan antarabangsa peringkat tinggi akan datang mengenai penyelesaian damai bagi isu Palestin serta pelaksanaan penyelesaian dua negara, yang dijadual diadakan pada Jun ini di bawah pengerusi bersama Arab Saudi dan Perancis.
Dalam ucapannya, Al-Wasel menekankan bahawa penubuhan negara Palestin yang merdeka merupakan asas untuk mencapai keselamatan dan kestabilan di rantau ini, sambil menegaskan bahawa sokongan Arab Saudi terhadap penyelesaian dua negara adalah pendirian sejak dahulu lagi dan tidak berbelah bahagi.
Beliau turut mengumumkan penubuhan beberapa kumpulan kerja untuk menangani isu-isu utama yang berkaitan penyelesaian damai konflik dan menyeru negara anggota agar menyumbang visi serta cadangan mereka bagi menyokong persiapan persidangan berkenaan.
Al-Wasel berkata persidangan PBB itu akan menjadi landasan rasmi dan komprehensif dalam mengukuhkan usaha antarabangsa untuk mencapai resolusi yang adil dan berkekalan.
Kebanyakan negara anggota PBB dan delegasi pemerhati daripada blok serantau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha yang diterajui Arab Saudi dan Perancis dalam penganjuran persidangan itu.
Mereka menegaskan komitmen terhadap penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya formula yang dipersetujui di peringkat antarabangsa bagi menamatkan konflik, sambil menekankan keperluan untuk mencapai hasil yang konkrit termasuk pengiktirafan sebuah Negara Palestin.
Mereka juga menyatakan penolakan terhadap tindakan pengilhakan tanah dan pemindahan paksa rakyat Palestin selain menekankan kepentingan menyokong kerajaan Palestin dan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
Negara-negara yang mengambil bahagian turut memuji peranan utama Kerajaan Arab Saudi dalam menyokong perjuangan Palestin, peranannya selaku pengerusi bersama persidangan itu, serta usaha Riyadh dalam menggalakkan tindakan kolektif dan mengekalkan momentum politik serta diplomatik yang diperlukan bagi kejayaan persidangan berkenaan.-©BERNAMA