WASHINGTON, 10 Mac. - Amerika Syarikat (AS) tetap berhasrat mengenakan duti 25 peratus ke atas semua import aluminium dan keluli ke negara itu mulai 12 Mac, menurut Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick pada Ahad.
"Ya," kata Lutnick kepada NBC News apabila ditanya sama ada tarif ke atas keluli dan aluminium akan berkuat kuasa pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa tiada rancangan untuk mengenakan cukai 250 peratus ke atas produk tenusu dan kayu Kanada mulai minggu depan.
Keputusan mengenai langkah itu dijangka dibuat menjelang 2 April, apabila perjanjian perdagangan bebas tiga hala antara AS, Kanada dan Mexico tamat tempoh.
Pada 18 Feb, Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengenakan cukai tambahan 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium ke negara itu. - ©BERNAMA