Menteri Kemboja menggesa usaha bersama untuk memelihara ikan lumba-lumba Sungai Mekong yang jarang ditemui

10/03/2025

KRATIE, Kemboja, 10 Mac. - Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra pada Ahad menggesa usaha bersepadu untuk melindungi dan memelihara ikan lumba-lumba Sungai Mekong Irrawaddy yang terancam.


“Kami menggesa rakyat dan pihak berkuasa tempatan untuk bersama-sama melindungi dan memelihara ikan lumba-lumba terancam ini di sepanjang Sungai Mekong demi memelihara kepelbagaian biologi Sungai Mekong yang kaya," katanya.


Pheaktra berkata masyarakat tempatan akan mendapat banyak manfaat daripada pemuliharaan kerana ikan lumba-lumba telah menjadi tarikan utama bagi pelancong domestik dan antarabangsa.


“Pelancong datang melawat mamalia air tawar ini setiap hari, dan kunjungan mereka telah menjana pekerjaan serta pendapatan penduduk tempatan," katanya.


Ikan lumba-lumba Irrawaddy Sungai Mekong telah disenaraikan sebagai spesies yang terancam dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (International Union for Conservation of Nature-IUCN) sejak 2004.


Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan menganggarkan bahawa setakat 2024, terdapat 105 ikan lumba-lumba Irrawaddy yang hidup di sepanjang saluran utama Sungai Mekong sepanjang 180 kilometer di timur laut wilayah Stung Treng dan Kratie.


Kementerian merekodkan empat ekor ikan lumba-lumba yang baru lahir dalam dua bulan pertama 2025, tanpa kematian. - ©XINHUA

100325_B-GLOBAL1.JPG



Attachments