5 cedera selepas pesawat kecil terhempas di Pennsylvania

10/03/2025

NEW YORK, 10 Mac. - Sebuah pesawat kecil terhempas di tempat letak kereta di Lancaster County, negeri Pennsylvania, Amerika Syarikat pada Ahad, mencederakan lima individu di dalam pesawat itu, menurut pihak berkuasa tempatan.


Pesawat itu terhempas kira-kira 3.18 petang Waktu Timur (2018 GMT) di tempat letak kereta Brethren Village di Manheim Township, selatan Lapangan Terbang Lancaster, sejurus selepas berlepas menuju ke Springfield, Ohio, menurut pegawai seperti dilaporkan Xinhua.


Kesemua lima individu di dalam pesawat mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital berhampiran, kata seorang pegawai Jabatan Bomba Manheim Township pada sidang media petang Ahad. Tiada kecederaan dilaporkan di lapangan.


Nahas itu turut menyebabkan kira-kira sedozen kenderaan di tempat letak kereta berkenaan mengalami kerosakan, tambah pegawai itu. Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan asap hitam berkepul dari bangkai pesawat, dengan beberapa kereta terbakar.


Setakat ini, punca nahas masih belum diketahui dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan memaklumkan siasatan sedang dijalankan. - ©BERNAMA


 


Attachments