WELLINGTON, 10 Mac. - New Zealand bakal menyaksikan perkembangan pesat dalam sektor perlombongan apabila satu lagi projek berskala besar dijangka memulakan pengeluaran komersial menjelang 2026.
Langkah itu seiring dengan matlamat kerajaan untuk menggandakan hasil eksport mineral kepada NZ$3 bilion (US$1.71 bilion) menjelang 2035.
Menteri Sumber, Shane Jones berkata operasi berkenaan berpotensi mewujudkan 250 peluang pekerjaan serta menyumbang NZ$350 juta kepada sasaran negara.
Projek yang dikendalikan oleh Federation Mining ini melibatkan lombong emas bawah tanah Snowy River di Reefton, South Island dan dijangka memulakan pengeluaran emas setelah hampir 25,000 meter kerja penerokaan penggerudian dilaksanakan, kata Jones.
Ketika ini, tumpuan utama projek adalah pembangunan loji pemprosesan, dengan pembinaan dijadualkan bermula pada pertengahan 2025.
Pada Februari lalu, projek berkenaan menyuntik NZ$2.9 juta ke dalam ekonomi wilayah New Zealand, termasuk NZ$1 juta yang memberi manfaat langsung kepada kawasan West Coast. - ©BERNAMA
