SEOUL, 7 Mac. - Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Jumaat melaporkan 29 orang cedera selepas dua jet pejuang KF-16 secara tidak sengaja menjatuhkan lapan bom air-to-surface di luar kawasan latihan di Pocheon pada Khamis, lapor Agensi Berita Yonhap.
Setakat pagi Jumaat, seramai 15 orang awam dan 14 anggota tentera cedera, termasuk dua orang awam dilaporkan cedera parah, menurut seorang pegawai kementerian.
Siasatan awal mendapati kesilapan juruterbang disyaki menjadi punca, apabila seorang daripada juruterbang tersilap memasukkan koordinat sasaran sebelum berlepas, menurut seorang pegawai Tentera Udara.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. - ©BERNAMA