KUALA LUMPUR, 7 Mac. - Pada asalnya mereka sekadar menguruskan pengembaraan rakan seuniversiti di New Zealand, namun akhirnya menjadi sebuah perniagaan yang kini pesat berkembang buat Muhammad Afiq Mohmad Nazari dan Mohammad Habibullah Md Ali.
Syarikat mereka, NZ Malaysia Ltd, kini menjadi penyedia perkhidmatan pelancongan halal terkenal, menawarkan pengalaman melancong mesra Muslim di New Zealand dan juga negara lain.
Muhammad Afiq, 30 dan rakannya Mohammad Habibullah, 32, memulakan NZ Malaya pada 2015 semasa mereka bergelar pelajar kejuruteraan, bagi menampung keperluan pelancong Islam yang berdepan masalah mendapatkan makanan halal, kemudahan beribadat serta tempat penginapan bersesuaian.
Seiring pertumbuhan permintaan, mereka mendaftarkan syarikat NZ Malaya Ltd secara rasmi pada 2017 dengan sokongan kerajaan New Zealand. Selain ibu pejabat di Queenstown, syarikat ini juga mempunyai cawangan di Auckland.
Perniagaan mereka terus berkembang dengan penubuhan NZ Malaya Travel Sdn Bhd pada Mei 2018 yang berpangkalan di Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor bagi menyokong operasi di Malaysia.
Syarikat ini juga menerima sokongan padu Persatuan Perniagaan Malaysia New Zealand (NZMBA) yang membuka peluang jaringan kerja dengan pemimpin industri, agensi kerajaan dan perniagaan.
Presiden NZMBA Dave Ananth berkata model perniagaan NZ Malaya mengutamakan pembedayaan golongan muda dengan menyediakan peluang sebagai jurupandu pelancong serta dalam bidang pemasaran digital dan pembangunan perniagaan, seterusnya memupuk inovasi dan kepimpinan dalam kalangan bakat-bakat muda.
“Syarikat itu komited dalam mengekalkan piawaian halal yang tinggi, memastikan pengalaman melancong, makanan serta kemudahan penginapan memenuhi etika dan piawaian kualiti bagi kedua-dua pelancong Islam dan bukan Islam," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.
NZ Malaya menggemblengkan piawaian halal berdasarkan ISO 22000 dalam operasinya, menjamin pematuhan penanda aras antarabangsa dari segi keselamatan dan kualiti makanan.
Selain New Zealand dan Malaysia, syarikat itu juga menembusi pasaran Jepun, Korea Selatan, Turkiye, China, Mesir dan Jordan.
Seiring pertumbuhan permintaan terhadap tempat makan halal di Malaysia, NZ Malaya melancarkan Komunal Cafe yang menawarkan hidangan makanan tempatan dan juga Barat. Susulan kejayaan kafe itu, syarikat tersebut membuka kafe memiliki persijilan halal milik rakyat Malaysia yang pertama di Queenstown serta merancang untuk memperluas perniagaan mereka ke Australia, Jepun dan lain-lain.
NZ Malaya juga berkembang ke dalam sektor pengurusan hartanah menerusi jenama Smart Staycation dan Smart Home, menguruskan lebih 200 unit penginapan mesra Muslim di New Zealand dan Malaysia.
Syarikat itu mewujudkan perkongsian dengan MyFundAction NZ yang mempunyai pasukan diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan bergerak cergas meningkatkan kesedaran tentang pelancongan halal serta piawaian makanan menerusi kempen dan pameran.
ongan halal, mengalu-alukan syarikat Malaysia dan juga antarabangsa untuk bekerjasama dengan NZ Malaya bagi memperluaskan lagi inisiatif pelancongan mesra Muslim melangkaui New Zealand. - ©BERNAMA