LONDON, 7 Mac. - Para saintis membangunkan teknologi percetakan bio 3D (3D bioprinter) bersaiz mesin kopi yang mampu menghasilkan tisu menyerupai manusia, sekali gus berpotensi mempercepatkan pembangunan rawatan baharu bagi penyakit seperti artritis dan penyakit jantung, lapor PA Media/dpa.
Teknologi yang dikenali sebagai Reactive Jet Impingement (ReJI) ini menggunakan dua cecair berbeza, iaitu larutan polimer dan larutan mengandungi sel yang terampai dalam larutan.
Kaedah itu meningkatkan ketumpatan sel sehingga 10 kali ganda berbanding teknologi percetakan bio lain, menghasilkan tisu yang lebih menyerupai model manusia.
Profesor Kenny Dalgarno, seorang profesor dalam pembuatan dan kejuruteraan di Universiti Newcastle yang mengetuai projek ini berkata : “Penemuan ubat adalah proses yang rumit dan sangat mahal yang melibatkan beberapa siri ujian sebelum ia sampai ke ujian klinikal."
“Dalam penyelidikan klinikal, hanya satu daripada 10 bahan kimia yang diuji berjaya ke pasaran."
“Kadar kegagalan ini menunjukkan bahawa kita perlu memperbaiki model kita supaya ia lebih mewakili tindak balas ubat dalam tubuh manusia."
Antara peringkat pembangunan ubat adalah ujian ke atas kultur sel yang dihasilkan di makmal, yang biasanya dibiakkan pada permukaan rata seperti slaid mikroskop.
Bagaimanapun, mencetak sel dalam bentuk 3D berpotensi menjadikan ujian lebih tepat.
Para penyelidik turut menubuhkan sebuah syarikat, Jetbio, untuk menarik pelaburan dan berpotensi melancarkan pencetak ReJI di seluruh dunia.
Pasukan Jetbio mempamerkan teknologi itu kepada para menteri dan pemimpin kesihatan, termasuk Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Whitty di Parlimen bulan lalu.
Pencetak itu juga telah dipamerkan di Universiti Bristol, Newcastle dan Cambridge dalam siri bengkel dan kini akan digunakan di makmal mereka.
“Pasukan JetBio berada di barisan hadapan dalam penyelidikan yang memacu teknologi baharu, berpotensi memperbaiki kualiti dan kecepatan pembangunan ubat.
“Kemajuan ini berpotensi membawa ubat baharu kepada populasi dengan lebih cepat dan itu merangkumi rawatan untuk artritis, kanser dan penyakit kardiovaskular," kata Pengarah penyelidikan di Versus Arthritis, Lucy Donaldson. - ©BERNAMA