MOSCOW, 17 Dis. - Gempa bumi berukuran 7.3 magnitud direkodkan di luar pantai negara kepulauan Pasifik, Vanuatu dan amaran tsunami telah dikeluarkan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berlaku pada 0147 GMT kira-kira 30 kilometer ke barat ibu negara Vanuatu, Port Vila yang mempunyai populasi kira-kira 36,000 orang.
Pusat gempa bumi itu terletak pada kedalaman 43 kilometer. Pada awalnya, gempa bumi dilaporkan berukuran 7.4 magnitud, tetapi kemudiannya dikurangkan.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan AS (NOAA) melaporkan bahawa berdasarkan parameter awal, gelombang tsunami mungkin berlaku untuk garis pantai yang terletak sehingga 300 kilometer dari pusat gempa.
Tiada laporan mengenai kemungkinan kematian atau kerosakan akibat gempa bumi itu. - ©BERNAMA