900 atlet bakal sertai Kejohanan Olahraga Master Terbuka Malaysia

10/10/2024

KUALA LUMPUR, 10 Okt. - Lebih 900 atlet dari 18 negara bakal menyertai Kejohanan Olahraga Master Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-36 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil pada 12 dan 13 Oktober ini.


Presiden Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA), S. Sivapragasam dalam kenyataan berkata acara itu akan menampilkan dua bekas atlet Sukan Olimpik dan beberapa bekas atlet Sukan Asia serta Sukan SEA.


Beliau berkata atlet Malaysia Juliana Gumpil antara peserta yang akan bertanding dalam acara wanita bagi kategori 60 tahun.


Juliana diberi penghormatan dan disenaraikan dalam Galeri Juara Olahraga Masters Dunia (WMA) di Gothenburg, Sweden pada 19 Ogos lepas.


Kejohanan olahraga ini dianjurkan khas untuk atlet yang berumur 35 tahun ke atas berdasarkan kumpulan umur iaitu 35 hingga 39 tahun, 40 hingga 44 tahun, 45 hingga 49 tahun dan lain-lain sehingga lebih 100 tahun.


“Kira-kira 25 atlet berusia lebih 80 tahun akan mengambil bahagian pada tahun ini," katanya. - ©BERNAMA



Attachments