Mesir hadapi tekanan ekonomi akibat ketegangan serantau

10/10/2024

KAHERAH, 10 Okt. - Mesir sedang menghadapi tekanan ekonomi yang ketara, terutamanya disebabkan oleh konflik serantau yang berterusan, kata Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly dalam satu sidang media pada Rabu.


Beliau menegaskan bahawa faktor luaran termasuk ketegangan yang semakin meningkat di rantau ini menyumbang kepada cabaran ekonomi negara, lapor Xinhua.


Madbouly menjelaskan bahawa dalam tempoh seminggu, harga minyak mentah melonjak sebanyak 10 peratus kepada lebih US$80 setong akibat ketegangan serantau, meningkatkan lagi tekanan terhadap ekonomi Mesir.


“Kami menghadapi cabaran yang bukan berpunca daripada kami, tetapi kami terpaksa menanganinya kerana kesan langsung yang dirasai.


“Walaupun berdepan cabaran, kami komited untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan," kata Madbouly, sambil menambah bahawa institusi kewangan antarabangsa kekal optimis terhadap ekonomi Mesir.


Beliau juga berkata bahawa Mesir menjangka menerima pelaburan asing langsung sebanyak US$675 juta dalam tempoh beberapa minggu akan datang selepas menawarkan lesen 5G kepada pengendali telekomunikasi.


Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir mengalami kekurangan mata wang asing yang diperlukan untuk import, yang mengakibatkan penurunan nilai mata wang tempatan serta inflasi yang tinggi.


Inflasi mencapai paras tertinggi 38 peratus pada September 2023 sebelum berkurangan secara beransur-ansur kepada 25 peratus pada September 2024.


Selain itu, Mesir menyaksikan lonjakan kewangan selepas menandatangani perjanjian pelaburan bernilai US$35 bilion dengan Emiriah Arab Bersatu pada Februari untuk membangunkan Ras Al-Hekma, sebuah resort baharu di pantai utara Mesir. - ©BERNAMA



Attachments