YOKOHAMA, 10 Okt. - Sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) terpaksa melakukan pendaratan cemas di sebuah pantai berhampiran Tokyo pada Khamis selepas mengesan masalah teknikal, menurut Tentera Laut AS.
Menurut Agensi Berita Kyodo, helikopter yang membawa tiga kru itu mendarat sekitar 11.05 pagi waktu tempatan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Helikopter terbabit berasal dari pangkalan AS di Atsugi, wilayah Kanagawa, menurut Kementerian Pertahanan Jepun.
Menteri Pertahanan, Gen Nakatani memaklumkan kepada pemberita bahawa beliau akan meminta pasukan tentera AS untuk memastikan pengurusan keselamatan yang menyeluruh.
Kementerian juga menghantar pegawai untuk mengumpul maklumat di lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 1.6 kilometer di tenggara Stesen JR Chigasaki, katanya.
Insiden ini berlaku selepas satu lagi pendaratan cemas oleh helikopter Tentera Laut AS di sebuah sawah padi di Ebina, wilayah Kanagawa, pada Ogos lalu. - ©BERNAMA