Wimbledon guna teknologi Live ELC mulai 2025

10/10/2024

LONDON, 10 Oktober. - Kejohanan Wimbledon akan memperkenalkan Teknologi Live Electronic Line Calling (Live ELC) mulai 2025, umum All England Lawn Tennis Club pada Rabu.


Teknologi Live ELC akan digunakan untuk semua gelanggang perlawanan di Kejohanan dan Pusingan Kelayakan tahun depan, selepas ujian menyeluruh dilakukan semasa Kejohanan tahun ini, lapor Xinhua.


"Keputusan untuk memperkenalkan Teknologi Live ELC di Kejohanan ini dibuat selepas tempoh pertimbangan dan rundingan yang panjang.


"Setelah menyemak keputusan ujian yang dijalankan di Kejohanan tahun ini, kami mendapati teknologi itu cukup mantap dan kini masa yang tepat untuk mengambil langkah penting ini bagi memastikan ketepatan maksimum dalam pengadilan kami.


“Bagi pemain, teknologi ini akan menyediakan syarat yang sama seperti dalam pelbagai acara lain dalam siri jelajah," kata Ketua Eksekutif All England Club, Sally Bolton.


Dengan Terbuka AS dan Terbuka Australia menggunakan teknologi ini, Terbuka Perancis kini menjadi satu-satunya Grand Slam yang masih mengekalkan pengadil garisan. - ©BERNAMA



Attachments