Korea Selatan mulakan pengeluaran jet pejuang KF-21

10/07/2024

SEOUL, 10 Julai. - Korea Selatan memulakan pengeluaran jet pejuang tempatan KF-21 pada Rabu, menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha negara itu membina pesawat pejuang canggih.

Majlis perasmian model pertama KF-21 berlangsung di Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI) di Sacheon, 296 kilometer di selatan Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA).

Korea Selatan melancarkan program pembangunan KF-21 pada 2015, bertujuan untuk memperoleh jet pejuang supersonik canggih bagi menggantikan armada jet buatan AS yang sudah usang, termasuk F-5.

Bulan lalu, KAI menandatangani perjanjian bernilai 1.96 trilion won (US$1.41 bilion) dengan DAPA untuk membina 20 unit KF-21 menjelang 2027.

Negara ini berhasrat membina lebih banyak unit dan mengoperasikan sejumlah 120 KF-21 menjelang 2032.

DAPA memaklumkan model pengeluaran pertama dijadual dihantar kepada Tentera Udara pada akhir 2026.

Sejak projek pembangunan bermula, DAPA telah menjalankan pelbagai ujian penerbangan dan persenjataan ke atas enam prototaip KF-21. - ©BERNAMA


 


Attachments