Euro 2024 : Sepanyol ke final tewaskan Perancis

10/07/2024

BERLIN, 10 Julai. - Sepanyol mencipta kejutan apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Perancis 2-1 dalam separuh akhir Euro 2024, Selasa. Jaringan daripada Lamine Yamal dan Dani Olmo memastikan kemenangan dramatik La Roja, lapor Xinhua.

Lamine Yamal, pemain muda berusia 16 tahun mencuri tumpuan apabila menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah Euro.

Sepanyol bermula dengan baik dan hampir membuka tirai jaringan melalui tandukan Fabian Ruiz pada minit kelima.

Namun, Perancis mendahului pada minit kesembilan apabila hantaran lintang Kylian Mbappe membolehkan Randal Kolo Muani menanduk bola masuk dari jarak dekat.

Sepanyol terus menekan untuk mencari gol penyamaan tetapi menghadapi kesukaran menembusi pertahanan kukuh Perancis.

Usaha gigih La Roja akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-21 apabila Yamal berjaya menyamakan kedudukan.

Hanya empat minit kemudian, Sepanyol menambah gol kedua apabila Dani Olmo menggelecek melepasi pertahanan Perancis untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Selepas separuh masa, Perancis yang ketinggalan buat kali pertama dalam kejohanan ini mula meningkatkan serangan dan menekan Sepanyol di kawasan mereka.

Pasukan Didier Deschamps berusaha keras untuk mencari gol penyamaan tetapi pertahanan Sepanyol bertahan sehingga akhir perlawanan untuk memastikan tempat ke final.

“Kami berjaya membuka jaringan, yang sangat baik, tetapi Sepanyol bermain lebih baik daripada kami. Kami berusaha sehingga akhir," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps. - ©BERNAMA



Attachments