India, Rusia sasar tingkat perdagangan tahunan 54 peratus bagi enam tahun

10/07/2024

NEW DELHI, 10 Julai. - India dan Rusia menyasarkan untuk meningkatkan perdagangan tahunan mereka sebanyak hampir 54 peratus bagi tempoh enam tahun ketika kedua-dua negara berusaha mengukuhkan hubungan ekonomi.

Perdana Menteri India Narendra Modi semasa lawatannya ke Rusia pada 8 hingga 9 Julai telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Vladimir Putin mengenai pengukuhan kerjasama dalam pelbagai bidang. Sektor tenaga mendapat perhatian utama dalam perbincangan itu, dengan Rusia menjadi pembekal utama minyak mentah India.

Kedua-dua pemimpin bersetuju mengenai lebih banyak kerjasama dalam tenaga nuklear, penapisan minyak, petrokimia dan pelaburan tenaga, menurut satu kenyataan bersama pada Selasa.

Kedua-dua juga pihak berhasrat untuk meningkatkan jumlah perdagangan membabitkan produk pertanian, makanan dan baja, dengan sasaran perdagangan tahunan sebanyak US$100 bilion menjelang 2030.

Perdagangan dua hala mencecah US$65 bilion dalam tahun kewangan berakhir Mac 2024, dengan eksport Rusia ke India berjumlah US$60 bilion.

Rusia dan India bersetuju untuk melanjutkan perbincangan mengenai penghapusan halangan perdagangan, termasuk kemungkinan perjanjian perdagangan bebas antara India dan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

“Kami telah mengadakan satu pusingan perbincangan antara kedua-dua negara dan dijangka akan dipercepatkan dalam bulan-bulan akan datang," kata Setiausaha Luar India Vinay Mohan Kwatra pada sidang media mengenai prospek FTA.

Sementara itu, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meningkatkan interaksi dalam bidang pembangunan infrastruktur, kejuruteraan pengangkutan, pengeluaran kenderaan, pembinaan kapal, angkasa dan sektor industri lain.

Mereka juga akan memudahkan kemasukan syarikat ke pasaran masing-masing dengan mewujudkan anak syarikat dan kelompok industri. Menurut satu lagi kenyataan, kerjasama Rusia-India dalam sektor ketenteraan "berorientasikan pembangunan bersama, penyelidikan dan pengeluaran bersama" senjata dan peralatan.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk menggalakkan pembuatan bersama di India bagi alat ganti, komponen, agregat dan produk-produk lain untuk penyelenggaraan senjata dan peralatan pertahanan asal Rusia," katanya.

Dalam sektor nuklear, kedua-dua negara mencatat kemajuan dalam pembinaan unit kuasa nuklear yang masih berbaki di Kudankulam, Tamil Nadu. Loji Tenaga Nuklear Kudankulam yang dibangunkan dengan kerjasama firma nuklear Rusia Rosatom adalah kemudahan terbesar di India.

Ia akan mempunyai enam unit dengan kapasiti 1,000 MW bagi setiap satu dan unit satu dan dua sudah beroperasi. Rusia dan India sedang membincangkan satu lagi tapak untuk membina lebih banyak loji kuasa nuclear.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan teknikal mengenai reka bentuk Rusia VVER 1200, peralatan dan pembuatan bersama komponen NPP serta kerjasama di negara ketiga," menurut kenyataan itu. - ©BERNAMA



Attachments