Biden komited tamatkan penggal kedua sekiranya menang - Rumah Putih

10/07/2024

WASHINGTON, 10 Julai. - Presiden Amerika Syarikat Joe Biden komited menamatkan penggal kedua jika dipilih semula pada pilihan raya presiden akan datang, menurut Rumah Putih pada Selasa.

Ketika ditanya oleh seorang wartawan sama ada Biden, 81, berjanji untuk menamatkan penggal kedua empat tahunnya jika beliau mengalahkan bekas Presiden Donald Trump dalam pilihan raya November, jurucakap Karine Jean-Pierre menjawab: "Ya", lapor Agensi Anadolu.

Biden berdepan desakan untuk menarik balik pencalonannya sejak prestasi buruknya menentang Trump dalam debat presiden pertama mereka pada 27 Jun.

Sehari sebelumnya, Jean-Pierre menafikan laporan bahawa Biden sedang dirawat kerana penyakit Parkinson selepas rekod pelawat menunjukkan bahawa seorang pakar neurologi terkemuka yang pakar dalam penyakit berkenaan melawat rumah eksekutif itu sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan.

Pada Selasa, beliau berkata pertemuan antara Biden dan pakar neurologi pada Januari tiada kaitan dengan rawatan perubatan.

Ketika ditanya mengenai ahli Kongres Demokrat yang mencadangkan beliau menarik diri daripada pencalonan, beliau berkata terdapat ramai yang menyokongnya.

“Kami menghormati ahli-ahli Kongres dan pandangan mereka. Tetapi saya juga ingin menyatakan terdapat senarai panjang ahli kongres yang jelas menyokong presiden," katanya. - ©BERNAMA



Attachments