Melinder Kaur sasar pahat nama dalam rekod guinness tahun hadapan

11/06/2024

KUALA LUMPUR, 11 Jun. - Bekas atlet negara Melinder Kaur bertekad memahat satu lagi catatan dalam Guinness World Records (GWR) iaitu merangkak 100 meter (m) terpantas kategori wanita buat julung kalinya.

 

Melinder, 36, berkata beliau pernah menghantar permohonan selain menerima pengesahan daripada pihak GWR bagi tujuan tersebut namun memilih untuk mencatat rekod baharu itu pada tahun hadapan bagi memberi ruang buat dirinya berehat seketika.

 

Sabtu lepas, pakar larian berhalangan negara itu memecahkan rekod GWR dalam larian satu batu atau 1.6 kilometer (km) terpantas dengan memakai gari kategori wanita, menerusi catatan masa 5 minit 57.34 saat serta mencatatkan rekod baharu dalam larian terpantas dengan jarak sama secara berkaki ayam 6:04.87s.

“Ini bukan pertandingan tetapi Rekod Dunia, jadi sasaran saya untuk atasi masa yang ditetapkan oleh GWR nanti. Kaum perempuan belum pernah cuba buat rekod ini.

 

“Sekarang ini saya mahu fokus untuk pemulihan dan berehat dan hanya akan melakukannya pada tahun hadapan," katanya yang juga pemegang lima rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) kepada Bernama.

 

Rekod larian satu batu terpantas dengan memakai gari kategori wanita sebelum ini dilakukan oleh Sandra Hickson dari Ireland pada 2018 dengan catatan masa 6 minit 37 saat.

 

Beliau dalam masa sama memaklumkan tujuan membuat rekod ketiga GWR itu adalah sebagai usaha mencabar dirinya selain terus mengutip dana membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dalam negara. - ©BERNAMA



Attachments