Presiden Malawi mohon bantuan antarabangsa selepas pesawat bawa Timbalan Presiden hilang

11/06/2024

LILONGWE (Malawi), 11 Jun. - Presiden Malawi, Lazarus Chakwera meminta bantuan masyarakat antarabangsa dalam operasi mencari dan menyelamat selepas pesawat yang membawa Timbalan Presiden Saulos Chilima hilang pagi Isnin.

 

Chakwera menerusi ucapannya pada lewat petang Isnin berkata beliau telah meminta bantuan negara-negara jiran dan negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Norway, lapor Xinhua.

 

Komuniti antarabangsa komited menyokong agensi keselamatan negara dengan menggunakan teknologi canggih bagi operasi mencari dan menyelamat sehingga pesawat itu dijumpai, katanya.

 

Beliau mengarahkan operasi mencari dan menyelamat diteruskan sementara menanti sokongan antarabangsa.

 

Pesawat Angkatan Pertahanan Malawi dilapor gagal mendarat di Lapangan Terbang Mzuzu akibat cuaca buruk dan juruterbang dinasihatkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kamuzu di Lilongwe sebelum pesawat itu hilang dari radar sekitar 10 pagi waktu tempatan (0800 GMT) Isnin.

 

Operasi mencari dan menyelamat tertumpu di hutan buatan, Chikangawa di pinggir Bandar Mzuzu.

 

Sementara itu, Chakwera mengarahkan Tentera Pertahanan Malawi untuk terus memaklumkan kepada orang ramai berhubung perkembangan terkini operasi tersebut.

 

Timbalan presiden Chilima dilaporkan dalam perjalanan menghadiri upacara pengebumian bekas Peguam Negara dan Menteri Kehakiman, Ralph Kasambara yang ditemui mati di sebuah bilik di rumah penginapan Lilongwe pada Jumaat. - ©BERNAMA

 


Attachments