PENA antara tiga NGO Malaysia terima pengiktirafan UNESCO

11/06/2024

KUALA LUMPUR, 11 Jun. - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan dua lagi badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia akan menerima pengiktirafan rasmi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi domain Persuratan-Warisan Kebudayaan Tidak Ketara.

 

PENA dalam kenyataan hari ini berkata pengiktirafan itu bakal diterima persatuan tersebut pada sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO di Paris yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan akan turut diberikan kepada Majlis Kraf Malaysia dan Pusat Budaya Pusaka (PUSAKA).

 

Presiden PENA Prof Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata pengiktirafan berkenaan merupakan satu penghormatan kepada PENA khususnya dan khalayak sastera yang bersama-sama mendukung usaha memperjuangkan seni persuratan dan kebudayaan dalam konteks warisan tidak ketara.

 

"Tanpa sokongan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Pendidikan khususnya Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kotabuku serta pelbagai agensi lain, tentulah sukar bagi kami menjalankan amanah sebagai pengembang dan pembangun kebudayaan," katanya yang akan mewakili PENA pada konvensyen tersebut bersama-sama Timbalan Presiden Mohd. Khair Ngadiron dan Ahli Jawatankuasa Rosman Md. Shah

 

Mohamad Saleeh turut berharap pengiktirafan itu dapat membuka mata pihak berkepentingan agar memberikan ruang dan bantuan kepada PENA yang tidak mempunyai dana tetap.

 

"Bidang kebudayaan ini seharusnya dilayan dengan baik dan sistematik bagi memastikan semua organisasi yang berjuang secara tekal dan ikhlas tidak terpaksa meminta-minta apabila mahu menjalankan program," katanya. - ©BERNAMA



Attachments