Pencuri larikan barang kemas bernilai €500,000 daripada kedai Bulgari di Rom

10/06/2024

ROM, 9 Jun. - Dalam satu kejadian pecah masuk di kedai barang kemas mewah Bulgari di Rom semalaman, sekumpulan pencuri berjaya melarikan barangan bernilai lebih €500,000 (AS$540,000), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pelaku memecah masuk cawangan kedai barang kemas mewah itu melalui lubang di lantai dari bangunan jiran bersebelahan, menurut siasatan awal polis pada Ahad. Walaupun sistem penggera berbunyi sejurus sebelum tengah malam, para pelaku berjaya menghilangkan diri sebelum pegawai polis pertama tiba.

Kedai terbabit terletak di Via Condotti, salah satu jalan membeli-belah mewah di ibu kota Itali yang terletak berhampiran dengan Tangga Sepanyol. Sebuah lubang ditemui di lantai yang menghubungkan kedai itu dengan ruang bawah tanah bangunan jiran.

Para penyiasat berharap dapat memperoleh maklumat daripada rakaman kamera pengawasan. Walaupun polis memberikan anggaran awal nilai barang kemas yang dicuri sebanyak €500,000, ia mungkin juga bernilai lebih tinggi. - ©BERNAMA


Attachments