Houthi serang kapal milik Jerman dan Switzerland

10/06/2024

WASHINGTON, 10 Jun. - Kumpulan Houthi menyerang dua kapal milik Eropah di Laut Merah hingga mengakibatkan kerosakan, menurut tentera Amerika Syarikat pada Ahad.

Dua kapal terbabit merupakan kapal kontena M/V Tavvishi yang berdaftar di Liberia, milik Switzerland dan kapal kargo M/V Norderney yang berdaftar di Antigua dan Barbados, milik Jerman, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik Pusat Komando AS (CENTCOM) dalam satu kenyataan.

Dua peluru berpandu balistik anti-kapal (ASBM) telah dilancarkan dari kawasan yang dikawal Houthi di Yaman ke Teluk Aden, dengan satu daripadanya mengenai M/V Tavvishi.

Kapal itu mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan, menurut CENTCOM.

Houthi turut melancarkan “ASBM dan satu peluru berpandu pelayaran anti-kapal (ASCM) ke Teluk Aden," kata CENTCOM dengan kedua-dua peluru berpandu mengenai M/V Norderney.

Kapal kargo itu mengalami kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan dan kapal berkenaan meneruskan perjalanannya.

Sementara itu, CENTCOM memusnahkan satu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) di Teluk Aden serta dua peluru berpandu jelajah serangan darat Houthi (LACM) serta satu pelancar peluru berpandu di kawasan dikuasai Houthi.

Houthi berulang kali menyasarkan kapal-kapal di kawasan berkenaan sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober dan mendakwa serangan itu bertujuan menyokong kumpulan Palestin Hamas bagi menyukarkan kapal kargo untuk sampai ke Israel.

AS dan UK melancarkan beberapa serangan tentera terhadap kedudukan Houthi di Yaman, sebagai tindak balas terhadap serangan itu.

Kesatuan Eropah juga melancarkan operasi ketenteraan bagi melindungi aktiviti perkapalan di Laut Merah. - ©BERNAMA



Attachments